Sir Azri Video

Wednesday, 30 July 2014

Pengakuan bekas setiausaha politik Menteri Besar sahkan PKR rompak wang rakyat



Saya tak berhasrat membuka pekung atau mengungkit. Tapi bila Saifudin dan Rafizi mula mengungkitkan stand mulia PKR di Kedah tentang kerusi MB, saya terpanggil untuk menyatakan bahawa perbandingan situasi Selangor- Kedah itu tidak wajar. PKR tidak berada dalam kondisi yang wajar untuk berbicara siapa patut jadi MB pada masa itu atas banyak faktor, bukan kerana mereka gentleman, mulia atau baik hati.

Hari-hari dalam tahun 2008-2010 di Kedah selepas PRU-12 dulu adalah hari membilang kerusi. MB akan bertanya hampir setiap hari dan dia turut mengepak jari jemarinya satu persatu... Berapa lagilah kerusi DUN yang PR ada?

Di mana Rafizi, Saifuddin dan tokoh-tokoh besar PKR yang minta PAS contohi sikap PKR di Kedah dalam isu MB Selangor sekarang, pada masa kerusi kena dibilang setiap hari pada masa itu itu?

Tempoh itu adalah waktu-waktu getir PAS Kedah menghadapi karenah PKR, menjaga maruah PKR, maruah PR dan maruah kerajaan supaya jangan tumbang di tengah jalan. Adun-adun PKR Kedah melompat, merancang melompat, menjual diri dan kerusi, memakan cengkeram untuk menyeberang.

Kerusi DUN PKR asalnya 5 tinggal 3, itupun setelah berjaya melepasi cabaran PRK Bukit Selambau. Kerusi Parlimen hilang dua, Padang Serai dan Kulim. Masa itu Rafizi dan Saifuddin ada di mana?

Sorang Adun yang kuat menahan diri daripada memakan umpan supaya melompat, menghadapi kes kahwin kali kedua tidak register pulak...lalu jadi senjata musuh untuk mengugutnya supaya menukar kem. Akhirnya DSAI arahkan dia meletak semua jawatan, walaupun Ustaz Azizan berpendapat cukuplah kalau lepaskan jawatan exco sahaja.

DSAI tetap mahukan dia letak semua jawatan, hilangkan diri seketika, menyebabkan PR terpaksa hadapi PRK Bukit Selambau. Daripada hari pertama melarikan dia daripada satu komplot BN yang bersiap membawanya ke Putrajaya, hinggalah dia pulang dari India, saya terpaksa menguruskan segala-galanya - memujuknya, menguruskan proses penyediaan dokumen sumpah, surat perletakan jawatan, menenangkan anak isterinya, hotel persembunyiannya, makan minum dalam persembunyian, membayar ganti rugi kerosakan rumah sewanya, menguruskan makan pakai dan tempat tinggal, sekolah dan keselamatan anak isterinya. Berpuluh ribu belanja untuk itu, semuanya PAS tanggung!

PAS Kedah berhabis beratus ribu pula untuk PRK Bukit Selambau atas kehendak PKR. Habis berpuluh ribu lagi nak jaga baki Adun PKR yang belum melompat...

PAS Kedah terpaksa membayar hutang lama seorang Adun PKR yang telah keluar iklan insolvensi (kebankrapan) di akhbar hampir seratus ribu. MB terpaksa diam saja bila dapat tahu dia telah arahkan GLC beri kebenaran kepada sebuah syarikat pengusaha kuari pasir yang kebetulan melalui tanah milik agensi itu- untuk menampung perbelanjaannya. Ada PKR peduli kesukaran Adun-adunnya ?

Sepanjang waktu-waktu getir, setelah mendapat maklumat tawaran lumayan semakin meningkat untuk mereka melompat menumbangkan kerajaan, saya kerahkan anggota unit keselamatan PAS bertugas 24 jam mengiring dan memantau pergerakan semua ADUN PR Kedah secara senyap dan terbuka. Tugasan ini tidak perlu dilakukan pun jika Adun-Adun PKR tidak membuat honar dan bertemu berunding dengan broker di Kelab Cinta Sayang! Sebulan lebih mereka ke hulu ke hilir meninggalkan keluarga dan kerja, PKR di mana?

PAS terpaksa merangkak untuk mencari dana beratus ribu lagi untuk menjaga bekas Adun yang Anwar arahkan meletak jawatan selepas dia balik dari persembunyian di India, atas janji mereka kepada pengorbanannya.

Uruskan belanja dan keperluan bulanannya sehingga habis penggal, termasuk penyediaan tempat tinggal (rumah) dan hutang piutangnya! Bukan sedikit, beratus ribu! PKR di mana masa itu? Bukanlah dia orang PKR?

Saya tidak bermaksud mengecilkan pengorbanannya, saya salute kesanggupannya, tapi sayang! PKR di semua peringkat telah mengabaikan nasibnya yang telah berkorban untuk partinya. Ada sesiapa dari PKR yang pernah bertanya khabar anak isterinya?

Selama dua bulan lebih dia dalam pelarian atas kehendak PKR di India, anak isterinya tinggal di mana? Kamilah yang menguruskannya!

Pernahkan Rafizi atau Saifuddin atau Anwar ambil sekeluarga India yang anak-anaknya sedang membesar, bapanya hilang entah ke mana, keselamatan tidak terjamin, budaya dan agama jauh berbeza, tinggal serumah, sedapur, sebilik mandi dengan mereka?

Pernahkan penganut hindu yang taat, berada dalam tekanan, dalam serba kepayahan, menempatkan 'tokong' dan bersembahyang di ruang tamu rumah Rafizi di depan anak dan isterinya? Saifuddin pernah basuh tilam dan lantai bekas kencing budak kaum India di rumahnya? Peduli pun tidak, apalagi bertanya!

Apa lagi PKR buat untuk Kedah?

Sepanjang sejarah PR jadi kerajaan di Kedah, ada kes tuntutan perjalanan bulanan sorang sorang Exco dari PKR jauh melebihi gaji dan elaunnya... Pegawai-pegawai kerajaan pun terkejut dan mengadu. Elaunnya sekitar RM17 ribu, tuntutan perjalanannya pernah mencecah RM23 ribu! Siapakah yang menutupi keaiban besar ini?

Lima Adun PKR yang asal dan seorang yg menang PRK Bukit Selambau, enam semuanya pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri! Tidakkah ini pelik! Topidak bertolak ansurkah PAS dengan PKR dalam hal sebesar ini? Siapakah yang mengizin/mengarahkan tolak ansur ini kalau bukan Presiden PAS, tempat tumpah kesetiaan dan kepatuhan MB Kedah masa itu.

Mungkin tak cukup kerusi Exco, berebut pulak hendakkan senator sampai seorang Ketua Cabang keluar parti sewaktu PRK Bkt Selambau. Mereka menuntut macam-macam keistimewaan untuk diri dan kaumnya yang belum dapat dipenuhi, MP Padang Serai keluar parti. MP yang jarang pedulikan kawasan, tidak pernah turut serta dalam program peringkat kawasan dan negeri, tapi meminta peruntukan itu dan ini, akhirnya melompat jugak...

Adakah Rafizi atau Saifuddin datang bertanya khabar tentang karenah orang-orangnya? Adakah Saifuddin atau Rafizi tampil meminta maaf di atas karenah yang dibuat oleh Adun-adun PKR yang PAS terpaksa tanggung di Kedah? Tak pernah walaupun sekali...!

Belanja program parti PKR pun minta daripada PAS, termasuk belanja kotinjen PKR Kedah ke PRN Sarawak. MB terpaksa secara diam-diam meluluskan kawasan balak kepada PKR melalui satu permohonan sebuah syarikat yang mewakilinya, atas alasan PKR tiada belanja nak uruskan parti. Bila lulus dengan harga yang sama dengan pihak lain (RM16 ribu sehektar), diulang lagi memohon pengurangan harga pula. PAS Kedah tidak pernah mengambil kesempatan jenis ini! PKR tidak malupun untuk mengulang meminta.

Ahli2 Majlis PBT PKR hampir sama ramai dengan PAS walaupun kerusi mereka hanya lima berbanding PAS 16, MKK pun begitu juga... Belum saya ceritakan gelagat ahli majlis PKR yang berniaga dan melindungi perniagaan atas kapasiti mereka di PBT.

Ustaz Azizan terpaksa menebal muka mempertahankan pencalonan Darjah Kebesaran (Dato') untuk orang-orang besar PKR di hadapan Tuanku Sultan memandangkan belum ada jasa untuk disenaraikan. Hanya ada jawatan dalam parti yang jarang diambil kira oleh pihak istana. Saya boleh senaraikan penerimanya kalau mahu, termasuk yang bercakap pandai itu. Mereka meminta secara direct dan indirect...

Bintang-bintang dan pingat yang lebih kecil tak perlulah di sebutkan. Berebut-rebut dan merajuk kalau tak dapat, marah kalau orangnya tak lekat, mahunya pada pingat dan kebesaran bagai semut menghurung gula!

PKR seperti orang lumpuh daripada leher sampai ke kaki dengan semua karenah ini. Semuanya PAS yang kena jaga, kena bela, kena suap, terpaksa tanggung, terpaksa telan! Tetapi lagak pemimpinnya seperti raja. PAS buat macam-macam untuk menjaga maruah PKR, menjaga maruah kerajaan PR dalam keadaan mereka melompat dan menuntut segala macam...

Dengan karenah yang berbagai-bagai itu, patut saja mereka tidak ikut campur dalam krisis yang dicetuskan oleh seorang Adun PAS dan sekelompok pengikutnya tentang kedudukan MB!

Kalaulah PKR menyamakan situasi di Selangor sekarang sama seperti Kedah, cuba bilang kerusi PAS Selangor hari ini dan kira juga kerusi PKR di Kedah masa itu. Jangan lupa masukkan sekali yang melompat dan membuat onar!

Mengucap permohonan maaf dan terima kasih pun mereka tak mampu, masih ada hati mahu mengungkit mereka tidak campur tangan dalam isu siapa patut jadi MB Kedah masa tu?

Sebenarnya bukan mereka tak mahu ikut campur, tapi mereka lumpuh segala anggota dari banyak sudut untuk bercakap tentang kelayakan! Perlukah saya ceritakan semuanya?

Kekalahan PR Kedah - walaupun ada faktor lain- turut disumbangkan oleh faktor karenah Adun dan MP PKR yang melompat. Ia membangkitkan kebencian dan meluat.

Walaupun menang di kerusi mereka apabila mengemukakan semua muka baru, bekas-bekas Adun yang tidak dicalonkan melepaskan semua jawatan dalam parti. Pengundi melayu yang menyimpan geram dan meluat dengan gelagat PKR menghukum calon-calon PR di kawasan-kawasan melayu, PAS lah yang menanggung akibatnya! Ada hati nak mengungkit? Tak malu?

Hari ini tokoh yang mengarahkan PAS Kedah terus bersabar, mengarahkan MB Kedah terus bertolak ansur untuk memelihara kukuh Pakatan Rakyat di Kedah pada waktu lalu sedang diberi kata dua, di suruh menjawab itu dan ini hanya kerana dia menyatakan keputusan partinya. Saya menanggung perit yang tersimpan selama ini hanya kerana susuk ini yang mengarahkan MB meraikan saja kelemahan, menutup kekurangan dan menampung apa yang kurang pada mereka. Itulah dakwah politik kita masa itu. Itulah toleransi Presiden PAS yang dipatuhi oleh Almarhum Ustaz Azizan.

Tak ada sedikit rasa malukah dengan kebaikannya selama ini mengarahkan segala kelemahan dan kekurangan malah kesialan kamu diraikan saja malah ditutup? Bila lemah meruntun bila rasa kuat mula jalannya pun mulalah mendongak!

Sanusi eX Setpol Ust Azizan

Tuesday, 22 July 2014

Mempertahankan Perlembagaan Sebagai Asas Perpaduan Negara - Tun Abdul Hamid Mohamad




Berikut teks penuh ucapan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada Majlis Wacana Islam dan Cabaran Semasa sempena Majlis Berbuka Puasa NGO-NGO Islam.

Semenanjung Tanah Melayu telah dijajah daripada orang Melayu. Yang menentangnya, baik Dato Bahaman, Dato Sagor, Dato Maharaja Lela, Dol Said, Tok Janggut atau Rusli Dhobi, adalah orang Melayu. Yang menentang Malayan Union adalah orang Melayu. Yang berkorban nyawa menentang pengganas Komunis semasa darurat adalah orang Melayu. Yang menuntut kemerdekaan adalah orang Melayu. Orang bukan Melayu menyertai gerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka melihat ia akan menjadi kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka. Pada masa itu pun tujuan mereka sudah berlainan.

Logiknya, Semenanjung Tanah Melayu yang dijajah daripada orang Melayu hendaklah dipulangkan kepada orang Melayu. Tetapi tidak, orang Melayu diminta berkongsi kuasa yang akan diserah balik oleh penjajah British. Pada masa itu pun orang Melayu telah diminta mengorbankan hak mereka “untuk menjaga perpaduan”. Orang Melayu bersetuju, sehinggakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1955, untuk memberi lebih banyak representasi kepada orang bukan Melayu, kawasan-kawasan majoriti Melayu diberikan kepada calon-calon bukan Melayu untuk bertanding. Keadaan ini berterusan demi untuk memastikan kemenangan pemimpin-pemimpin utama bukan Melayu, sehinggalah PRU 12 apabila kemenangan UMNO sendiri dalam kawasan majoriti Melayu sudah tidak terjamin.

Semasa rundingan kemerdekaan, PAS menuntut supaya Pulau Pinang dan Melaka dijadikan Negeri-Negeri Melayu demi menjaga hak keistimewaan orang Melayu. Semasa Malaysia hendak ditubuhkan PAS menentangnya kerana ia akan mengurangkan peratusan orang Melayu dan takut kiranya orang Melayu akan hilang kuasa politik dan dengan itu kedudukan orang Melayu dan agama Islam akan tergugat. Malah, selama beberapa dekat PAS senentiasa mengkritik UMNO kerana “tak cukup Melayu dan tak cukup Islam”. Begitu prihatin PAS terhadap nasib bangsa Melayu dan agama Islam pada masa itu.

Semasa rundingan kemerdekaan juga, Parti Boroh Malaya menuntut supaya ditubuhkan kerajaan unitari kerana, mengikut mereka, mengekalkan Sultan-Sultan dan Negeri-Negeri Melayu akan mewujudkan sebuah kerajaan beraja. Dalam kata- kata lain mereka hendak menghapuskan sistem beraja di Malaya. Siapakah majoriti ahli-ahli Parti Boroh? Tidakkah tuan-tuan terhidu bau yang serupa sekarang?

Parti Komunis Malaya mengangkat senjata untuk menubuhkan kerajaan komunis ala-China. Beberapa orang pemimpin parti-parti kiri Melayu lari ke hutan dan menyertai Parti Komunis Malaya kerana takut ditangkap British. Mereka diperalatkan oleh Chin Peng untuk mempengaruhi orang Melayu menyokong perjuangan mereka. Nasib baik, pada masa itu orang Melayu tidak terpengaruh degan mereka. Soalan: Tidakkah orang Melayu ternampak perancangan yang serupa sekarang oleh “komunis bandar” meminjam istilah Tan Sri Rahim Noor, mantan Ketua Polis Negara?

Biar apa pun, akhirnya peruntukan-peruntukan Perlembagaan dipersetujui dan ia menjadi undang-undang utama kita. Pada detik 12.00 tengah malam Semenanjung Tanah Melayu pun merdeka. Orang-orang yang sebaya dengan saya masih terdengar pekikan “Merdeka” itu dengan perasaan penuh semangat dan kegembiraan.

Tetapi, pada detik yang sama, satu perkara berlaku, yang kita tidak sedar. Ini digambarkan dengan jelas oleh Professor Shad Saleem Farouqi dalam bukunya yang bertajuk “Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia” di muka surat 710. Katanya:

“As a result of the “social contract” between the various races, millions of migrants to British Malaya were bestowed with citizenship by the Merdeka Constitution. It is believed that the number of citizens in Malaya doubled at the stroke of midnight on August 31, 1957 due to the constitutional grant.”

“Akibat “kontrak sosial” di antara berbagai-bagai kaum, berjuta-juta pendatang ke Malaya yang diperintah oleh British itu diberi kerakyatan oleh Perlembagaan Merdeka. Adalah dipercayai bahawa jumlah warga negara Malaya bertambah sekali ganda pada detik tengah malam 31 Ogos 1957 disebabkan oleh pemberian Perlembagaan itu.” (Terjemahan saya).

Pada 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. Kedudukan anak negeri Sabah dan Sarawak hampir serupa dengan kedudukan orang Melayu di Semenanjung. Maka peruntukan yang serupa dibuat untuk mereka – lihat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Semenjak Merdeka hinggalah sekarang, Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh sekumpulan parti berbagai-bagai bangsa dengan seorang Melayu sebagai Perdana Menterinya. Biar apa pun kelemahan mereka, negara berada dalam keadaan aman, tenteram membolehkannya maju dalam semua bidang dan dinikmati oleh semua orang dan semua kaum. Mana sebuah kaum yang boleh berkata bahawa mereka tidak menikmati kemakmuran Malaysia walau sedikit pun? Negara kita adalah di antara beberapa buah negara sahaja dalam dunia ini yang Perlembagaan asalnya masih berkuat kuasa. Malah Malaysia disifatkan sebagai model negara membangun dan negara Islam moden.

Jika kaum minoriti hendak ‘complain’ mengenai kebebasan mereka, tunjukkan kepada saya sebuah negara yang memberi lebih banyak hak kepada kaum minoriti. Apa jadi kepada orang Islam Rohingya di Myanmar? Di negeri-negeri jiran, nama mereka pun perlu diubah. Tunjukkan kepada saya sebuah negara yang bukan sahaja membenarkan sekolah-sekolah vernakular diadakan, malah membiayainya. Dari segi kebebasan beragama, pernahkah Kerajaan menghalang mereka daripada mengamalkan agama mereka. Pernahkah terfikir oleh mereka bagaimana mudahnya mereka membina rumah-rumah ibadat mereka di Malaysia, termasuk di atas tanah Kerajaan tanpa sebarang tindakan, diberi bantuan kewangan dan tanah gantian apabila dikehendaki pindah? Bandingkan dengan halangan yang di hadapi oleh orang Islam untuk membuat sebuah masjid di Eropah atau Amerika Syarikat.

Kecuali seketika di sekitar tahun 1969, keadaan bertahan selama lebih kurang 50 tahun. Ia disebabkan Kerajaan Persekutuan kukuh, pemimpin-pemimpin yang tegas dan ekonomi yang senentiasa berkembang. Kerajaan Persekutuan kuat sebab ia menerima sokongan orang Melayu dan bukan Melayu yang mencukupi, walau pun lebih banyak orang Cina senentiasa menyebelahi pembangkang. Mereka mahu lebih. Itu sahaja sebabnya. Dan mereka menuduh orang Melayu “tamak” kerana hendak mencapai 30% ekonomi negara! Bagaimana dengan mereka yang sudah mempunyai 80% tetapi mahu lebih? Mungkin itu “dermawan” mengikut istilah mereka. Anehnya ada juga orang Melayu yang mempercayainya.

Tetapi, keadaan berubah di kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah kerana leka dengan sedikit kemakmuran yang baru dirasai, ketaksuban kepada parti dan pemimpin dan kehadiran pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong yang oportunis yang tidak kira apa yang akan terjadi kepada bangsa, negara dan agama asalkan cita-cita mereka tercapai. Maka orang Melayu berpecah dengan seriusnya. Kumpulan pengundi majoriti menjadi minoriti. Kumpulan minoriti memperalatkan sebahagian pengundi Melayu untuk kepentingan mereka dan orang Melayu tidak sedar.

Melihat keadaan itu, kumpulan-kumpulan yang memang pandai mengira untung-rugi, terus mengatur perancangan mereka. Mereka membuat perancangan teratur untuk merampas kuasa melalui peti undi, dengan bersatu padu sesama sendiri sambil memperalatkan parti-parti Melayu dan orang Melayu yang naif itu. Mereka hampir berjaya.

Sambil itu kumpulan-kumpulan ekstremis mula membuat tuntutan-tuntutan yang bukan-bukan, menyerang hak-hak orang Melayu, menghina lagu Kebangsaan, menghina bendera Malaysia, menghina Institusi Raja-Raja, menghina pemimpin-pemimpin Melayu dan menghina agama Islam. Ketiadaan tindakan tegas terhadap mereka dilihat oleh mereka sebagai tanda kelemahan dan mereka menuntut lebih lagi.

Pendekatan mereka adalah bersifat ugutan dan bisnes: jika mahu perpaduan berikan kami hak yang sama dan kebebasan sepenuhnya. Dalam kata-kata lain, mereka mahu faedah yang diberikan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dihapuskan. Ertinya, mereka mahu perizaban kadar dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, keistimewaan pendidikan dan latihan, permit, lesen dan sebagainya dihapuskan. Semua mesti diberi atas dasar merit. Mereka tahu mereka menguasai ekonomi dan berada di hadapan dalam bidang pelajaran. Mereka tinggal di bandar-bandar besar di mana terdapat semua kemudahan dan exposure. Apabila pemilihan cuma dibuat berdasarkan kelulusan akademik, merekalah yang akan membolotnya. Tak cukup dengan itu, mereka mahu UiTM juga dibuka kepada mereka!

Rata-rata orang bukan Islam di Malaysia tidak senang dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Mereka mahu agama-agama mereka juga diberi kedudukan yang sama. Mengikut mantan Mufti Pulau Pinang, di Pulau Pinang telah berlaku satu peristiwa di mana di perasmian sebuah bangunan oleh Timbalan Ketua Menteri, doa dibacakan oleh seorang Paderi Kristian, seorang Sami Hindu dan Imam Masjid Negeri. Saya amat hairan mengapa Imam Besar pun turut menyertainya. Tidakkah beliau berfikir?

Saya amat sedih melihat orang Melayu dan Islam begitu naif sehingga mereka begitu mudah diperalatkan sehingga sanggup bertakbir dan bergolek di atas jalan raya sedangkan orang bukan Islam yang untung.

Saya juga hairan mengapa ada orang-orang yang dikenali sebagai ulama’ tidak nampak muslihat gereja Roman Katolik yang hendak memakai kalimah “Allah” dalam Bible Bahasa Melayu dan upacara gereja dalam Bahasa Melayu selepas 500 tahun kecewa mengkristiankan orang Melayu secara besar-besaran. Mereka merujuk kepada penggunaan kalimah Allah di bumi Arab tanpa menganalisis berbezaannya. Kita perlu lihat isu itu dalam konteks Malaysia.

Hinggakan, apabila sami Buddha mengadakan upacara sembahyang di surau di sebuah hotel pun, ada “ilmuwan Syariah” yang mengatakan Rasul Allah pernah membenarkan orang Kristian bersembahyang dalam masjid. Tidakkah mereka nampak perbezaannya?

Kisah itu melibatkan ahlil-kitab yang beriman dengan Allah dan di peringkat awal kerasulan Muhammad s.a.w. dan cara mereka bersembahyang pun tidak mencemarkan kesucian masjid. Jika dibenarkan penganut-penganut agama yang ada di Malaysia bersembahyang dalam masjid, apa akan jadi? Bukan sahaja masjid akan busuk dengan bau gaharu, babi panggang pun akan dibawa masuk ke masjid, sebab di bulan hantu lapar “offering” kepada hantu lapar adalah sebahagian daripada upacara sembahyang mereka.

Mantan Mufti Pulau Pinang juga memberitahu saya adalah susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin-pemimpin agama-agama lain juga menuntut hak yang sama. Jika kita tidak membendungnya, perkara seperti ini akan merebak ke seluruh Malaysia. Pada waktu itu, waktu penyiaran rancangan-rancangan agama Islam di televisyen pun akan terpaksa dikongsi dengan agama-agama lain. Jabatan-jabatan Kerajaan dan kampus-kampus universiti kerajaan yang menyediakan surau akan terpaksa menyediakan gereja, to’kong-to’kong dan gurdwara, memberi hanya dua misalan. Ertinya, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah tidak bermakna lagi. Peruntukan agama Islam sebagai agama Persekutuan mungkin dimansuhkan atau kesemua agama akan dijadikan agama Persekutuan. Tidakkah orang Islam berfikir?

Kumpulan ini sangat tidak puas hati dengan peruntukan Perlembagaan yang tidak membenarkan orang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada orang Islam. Selain dari itu, mereka pergi ke merata dunia untuk memburukkan Islam kerana Islam tidak membenarkan penganutnya murtad, kerana Islam membolehkan poligami, kerana Islam mengharamkan liwat, membuat tuduhan Islam mendiskriminasikan orang perempuan kerana pembahagian pusaka yang tidak sama rata dan lain-lain. Soalan saya: Mengapa mereka membantah hal-hal mengenai agama Islam pada hal kita tidak pernah membantah mereka membakar kereta kertas, duit neraka (hell money) atau mencucuk pipi mereka dengan besi dan lain-lain.

Mereka juga tidak puas hati dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Mereka mahu Bahasa mereka juga diberi kedudukan yang sama. Ke mana perginya “kontrak sosial”?

Ringkasnya mereka mahukan atau mahu menghapuskan apa yang ada pada orang Melayu tetapi mereka tidak mahu melepaskan apa yang ada pada mereka. Sanggupkah syarat kerakyatan dikaji semula? Sanggupkah syarikat-syarikat milik mereka dibuka kepada orang Melayu, baik sebagai pemilik saham, ahli Lembaga atau pengurusan atasan?

Kumpulan itu menjadi lebih berani kerana:

1. Mereka telah melihat orang Melayu berpecah-belah. Kumpulan majoriti telah menjadi minoriti.

2. Mereka telah berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin parti-parti orang Melayu untuk bekerjasama dengan mereka.

3. Mereka telah berjaya memanfaatkan pengundi Melayu yang menentang BN yang tidak sedar bahawa mereka diperalatkan.

4. Ketiadaan tindakan terhadap mereka dilihat sebagai kelemahan Kerajaan.

5. Pemansuhan Perisytiharan Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan pengumuman bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan dilihat sebagai satu kemenangan mereka. Mereka telah sekian lama menuntut perkara itu dilakukan dan mereka berjaya sekarang.

6. Persepsi rasuah di kalangan pemimpin politik Kerajaan yang tinggi memudahkan orang ramai percayai hasutan mereka.

Pada masa yang sama, Kerajaan semakin mengambil sikap lebih lembut dan “liberal”, mungkin dalam usaha untuk memenangi semula sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu yang telah lari kepada pembangkang. Jika itulah tujuannya, nyata sekali bahawa harapan itu adalah satu kesilapan. Bukan sahaja mereka tidak kembali dan tidak berterima kasih, tetapi mereka melihatnya sebagai satu kelemahan di pihak Kerajaan dan kejayaan bagi mereka.

Saya boleh faham mengapa Perisytiharan Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya dimansuhkan.

Dalam tahun 1970an, seorang Hakim dari Afrika yang datang ke Malaysia untuk menghadiri satu persidangan undang-undang bertanya kepada saya: “Malaysia berada dalam keadaan darurat bukan? Saya tidak lihat sekatan jalan raya oleh tentera mahupun kereta kebal di jalan raya.” Saya jawab, “Ya, itu darurat di Malaysia. Bayangkan jika tidak.” Untuk mengatakan selepas tahun 2000 kita masih berada di bawah keadaan darurat adalah tidak munasabah. Demikian juga melaksanakan undang-undang yang dibuat khas untuk menangani keadaan semasa darurat juga sukar untuk dibela walau pun dari segi undang-undang ia adalah sah.

Tetapi, saya dapati sukar sedikit untuk memahami mengapa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) juga turut dimansuhkan. Perlu diambil perhatian bahawa ISA bukanlah satu undang-undang yang dibuat di bawah peruntukan Perkara 150, ia itu semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa. ISA dibuat di bawah Perkara 149 yang membolehkan undang-undang seperti ISA dibuat untuk menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

Memanglah undang-undang yang membolehkan penangkapan dan tahanan tanpa perbicaraan bukanlah undang-undang yang baik. Tetapi, sudahkah kita lupa Mei 13? Adakah keadaan yang menggugat ketenteraman negara, tidak kira oleh siapa, komunis, militan Islam, kumpulan pelampau dan lain-lain sudah tidak ada lagi? Mana lebih baik ISA atau Guantanamo (Untuk perbincangan mengenai ISA dan Guantanamo, sila baca ucapan dan kertas kerja saya bertajuk “Conflict of Interests Between Different Basic Rights” dan “Legal and Judicial Transformation in Malaysia” yang boleh didapati dalam lman web saya.)

Saya faham bahawa Kerajaan mahu melihat Malaysia berada di kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan ISA, berada di kedudukan yang lebih baik, hampir dalam semua hal. ISA bukanlah sebab utama yang menentukan kedudukan itu.

Sekarang ISA telah “digantikan” dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Secara ringkas, perbezaan utama di antara keduanya ialah ISA membolehkan tahanan tanpa perbicaraan. (Tetapi tangkapan dan penahanan itu boleh dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman (judicial review)). Sebaliknya, di bawah SOSMA seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah akta itu mestilah dituduh di mahkamah atas tuduhan tertentu dan dibicarakan sama seperi kes jenayah lain.

Setakat ini sebanyak 38 orang telah dihadapkan ke mahkmah di bawah SOSMA, dengan 30 daripadanya di Lahat Datu. Perbicaraan sedang berjalan. Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara sendiri. Kebanayakan pertuduhan adalah di bawah Chapter VIA Kanun Keseksaan yakni kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan keganasan (offences relating to terrorism).

Ertinya “terrorism” yang memungkinkan kewujudan ISA masih ada. Apa yang dilakukan sekarang memang cantik di atas kertas. Tetapi soalnya, mampukan SOSMA menangani masalah terrorism? Dari segi kesalahan-kesalahan yang diwujudkan ia nampaknya lengkap. Soalnya, dapatkah pertuduhan-pertuduhan itu dibuktikan? Sama-samalah kita melihat perkembangannya.

Bagi saya ukurannya bukan sangat ISA ada atau tidak tetapi bagaimana ia dilaksanakan. Undang-undang apa pun boleh disalahgunakan. ISA pun jika dilaksanakan dengan berhemah dan menepati peraturan-peraturannya, boleh membawa hasil yang lebih baik dari SOSMA jika SOSMA disalahgunakan.

Sebaliknya, jika SOSMA dilaksanakan dengan berhemah dan ia memberi kesan yang serupa, tentulah SOSMA lebih baik.

Selain daripada itu Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah juga mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan.

Akta ini dibuat oleh British apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia, mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum. Seksyen 3(1)(f) memperuntukkan:

“…….mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181
Perlembagaan Persekutuan.”

Bahagian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 ialah mengenai Bahasa Kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak.

Peruntukan ini dimasukkan akibat peristiwa 13 Mei. Ringkasnya, ia menghalang sesiapa sahaja daripada mempersoalkan perkara-perkara yang disebutkan itu untuk mengelak daripada berulangnya peristiwa 13 Mei.

Bagi saya, perwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan itu adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Bin Hussain. Maka kepada anaknya saya berseru: Janganlah mansuhkan apa yang ayah anda telah lakukan. Saya khuatir kiranya beliau tidak akan memaafkan anda kerananya.

Bagaimana dengan RUU Harmoni yang JPNIN sedang buat itu?

Mereka mengaitkan Akta Hasutan dengan RUU Harmoni. RUU Harmoni akan menggantikan Akta Hasutan seperti mana SOSMA menggantikan ISA. Ertinya, mengikut mereka, untuk mencapai perpaduan dan harmoni (“perpaduan”) Akta Hasutan perlulah dimansuhkan kerana ia menjadi penghalang perpaduan. Dalam kata-kata lain, berikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk menghasut orang ramai supaya membenci Raja, menghapuskan sistem beraja, mempersoalkan kedudukan Bahasa Melayu sebagi Bahasa Kebangsaan, mempersoalkan hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kerakyatan, perpaduan akan tercapai. Lojik apa ini? Ia samalah dengan lojik seorang yang berkata “Kalau mahu tebuan berada di dalam sarangnya, jolokkan sarangnya.” Cubalah!

Maka kita perlu faham bahawa alasan bahawa Akta Hasutan perlu dimansuhkan demi untuk mencapai perpaduan itu tidak berasas langsung. Ia hanyalah helah untuk memansuhkan Akta Hasutan oleh orang-orang yang tidak sukakannya. Apatah lagi yang menggubalnya adalah Majlis Peguam. Itulah yang mereka mahu. Diberi peluang, terus mereka memanfaatkannya. Kita jangan terperangkap dengan helah seperti itu.

Apa untungnya orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak jika larangan- larangan mempersoalkan hak-hak yang diberi kepada mereka oleh Perkara 153 itu dihapuskan? Apakah untungnya orang Melayu jika hasutan mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dibenarkan? Yang untung hanyalah orang-orang yang tidak suka peruntukan-peruntukan itu. Tanpa Akta Hasutan mereka bebas menghasut orang ramai untuk menghapuskan pemerintahan Raja Berperlembagaan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak-hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Itu kita mesti faham.

Selain dari itu, ada beberapa perkara yang sangat menghairankan saya mengenai usaha menggubal RUU Harmoni untuk menggantikan Akta Hasutan itu. Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan dengan akta itu, sama ada hendak memindanya atau memansuhkannya, hendaklah datangnya daripada kementerian itu. Ini penting bukan sahaja kerana akta itu terletak di bawah kementerian itu, tetapi kerana kementerian itu mempunyai maklumat-maklumat, termasuk maklumat rahsia, mengenai ketenteraman negara yang akan menentukan dasar mengenainya.

Soalan saya: Mengapa dalam hal ini tugas itu diambil alih oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang menterinya Tan Sri Joseph Kurup yang nampaknya bekerjasama dengan Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri? Adakah satu “rampasan” (highjacking) berlaku di sini?

Mengikut prosedur biasa, penetapan dasar dilakukan oleh kementerian berkenaan sebelum ia diputuskan oleh Kabinet. Dalam hal ini, penentuan dasar, sekurang- kurangnya di peringkat permulaan, diserahkan kepada JUU&D yang ditubuhkan oleh MKPN yang di tubuh pula oleh JPNIN. Pengerusi JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Lim Chee Wee, mantan Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam adalah penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan PKR. Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang kedua?

Mengikut prosedur biasa juga, setelah dasar ditentukan oleh kementerian berkenaan, penggubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini, penggubalan dilakukan oleh Majlis Peguam. Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang ketiga?

Disebabkan oleh kesuntukan masa, untuk tujuan wacana ini, memadailah jika saya memberi dua misalan mengenai isi kandungan RUU Harmoni.

Pertama, rang undang-undang itu menekankan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 2(i) National Harmony and Reconciliation Bill mengatakan bahawa tujuan rang undang-undang itu adalah:
“2(i) To give effect to the letter and spirit of the Federal Constitution, in particular Article 8.”

“Untuk memberi kesan kepada apa yang tertulis dan semangat Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara 8.” – (Terjemahan saya.) Apa kata Perkara 8? Perkara 8(1) memperuntukkan:

“8. (1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang- undang.”

Itulah yang mereka mahu mahkamah memberi keutamaan dalam mentafsir atau memakai (interpretation or application) undang-undang itu jika ada kes.

Sepanjang ingatan saya, saya belum penah temui satu akta yang memperuntukkan bahawa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu kena diberi perhatian yang lebih daripada yang lain-lain. Dari situ kita dapat lihat tujuan mereka yang tersirat.

Kedua, nampaknya matlamat utama penggubal RUU Harmoni adalah untuk memansuhkan Akta Hasutan. Seksyen 8(1), Draft Racial and Religious Hate Crimes Bill memperuntukkan:

“8(1) The Sedition Act 1948 [Act No. 15] is repealed.”

Siapakah yang membuat tuntutan supaya Akta Hasutan dimansuhkan? Tidakkah apa yang hendak dilakukan itu untuk memenuhi kehendak mereka?

Patutkah Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapan saya: tidak. Patutkah ia dipinda? Jawapan saya: Ya. Apakah pindaan yang perlu dibuat? Jawapan saya: Masukkan Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Malaysia (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan. Sekarang menghasut terhadap kedudukan agama Islam bukanlah satu kesalahan di bawah Akta Hasutan. Mungkin kerana itu, mereka sangat berani. Semua orang Islam, sama ada dalam UMNO, PAS, PKR, NGO dan individu hendaklah bersatu dalam hal ini.

Kedua, pada pandangan saya, adalah lebih baik bagi kerajaan kiranya kesalahan menghasut terhadap kerajaan dimansuhkan. Maksud saya hanya mengenai kerajaan tetapi terhadap Raja mestilah dikekalkan. Ini lebih demokratik, lebih telus dan lebih terbuka. Hari ini pun, walaupun larangan itu ada, setakat yang saya tahu, kerajaan tidak pernah mengambil tindakan terhadap orang yang mengkritiknya kerana itu sebahagian daripada proses demokrasi. Untuk apa dikekalkan peruntukan itu?

Pada pandangan saya, itulah pendirian yang semua orang Islam, parti politik Islam dan NGO Islam, patut ambil.

Kita bukan mahukan hak orang lain. Kita bukan menuntut supaya Perlembagaan dirombak kerana kita mahu lebih. Kita cuma mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Kita cuma mahu apa yang telah dipersetujui dikekalkan untuk mengekalkan perpaduan dan harmoni. Rasiskah kita?

Pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam, tidak kira dalam parti mana hendaklah bersatu dalam mempertahankan kepentingan bangsa, agama dan negara, dengan mempertahankan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Malaysia yang sedia ada. Caranya ialah dengan menguatkan Kerajaan Persekutuan. PAS patutlah bekerjasama dengan UMNO dan BN di peringkat pusat. Di peringkat negeri ia boleh kekal seperti sekarang. Saya membuat seruan ini kerana saya percaya bahawa, dalam keadaan sekarang, mengikut hemat saya, itu sahaja cara yang boleh kita mempertahankan Perlembagaan dan kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia.

Anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak patut ingat bahawa apa yang menjamin nasib mereka ialah Perlembagaan Persekutuan dan mereka juga sepatutnya bersama mempertahankannya.

Sebenarnya semua pemimpin negara, tidak kira apa parti politiknya, apa bangsa dan agamanya, sama-sama mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia untuk kepentingan bersama.

Kesimpulannya:

1. Janganlah mansuh Akta Hasutan 1948.

2. Segala urusan mengenai Akta Hasutan hendaklah dilakukan oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu KDN.

3. JPNIN tidak sepatutnya mengambil alih perkara yang terletak dalam bidang kuasa KDN dan Peguam Negara.

4. Prosedur biasa di mana Kementerian berkenaan menentukan dasar dan pengpenggubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara manakala keputusan muktamad dibuat oleh Kabinet hendaklah diikuti.

5. Akta Hasutan hendaklah dipinda untuk memasukkan Perkara 3 dan 11 (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f).

6. Eloklah kerajaan memikirkan untuk meminda Akta Hasutan untuk mengeluarkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan supaya kerajaan nampak lebih telus, terbuka dan demokratik.

7. Ketepikan draf RUU yang dibuat oleh Majlis Peguam itu.

8. Jika JPNIN berfikir bahawa perpaduan boleh dicapai melalui undang-undang, sila sediakan drafnya. Ikutlah peraturan biasa.

9. Semua orang Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan semua parti politik, NGO dan pertubuhan Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak, hendaklah bersatu dalam hal ini.

10. Kita bukan hendak meminggir mana-mana kaum. Kita hanya hendak mempertahankan Perlembagaan supaya perpaduan akan berkekalan. Malah, kaum-kaum lain juga sepatutnya bersama-sama mempertahankan Perlembagaan kerana hanya dengan cara itu perpaduan dan harmoni dapat dikekalkan.
Sekian. terima kasih.
Tun Abdul Hamid Mohamad tunabdulhamid@gmail.com

Wednesday, 9 July 2014

"Najib Razak Manusia Biasa"


Ada salah dan ada silap kerana tidak semua pemimpin itu perfect dan mereka juga sama seperti kita.

YAB PM Dato Seri Najib Tun Razak mempunyai pemikirannya tersendiri dan kita tidak tahu apa yang beliau lakukan apatah lagi untuk Bumiputera di Malaysia ini. Namun apa yang boleh saya nyatakan bahawa Najib anak kepada Tun Abdul Razak tidak akan mengkhianati bapa beliau dalam terus memartabatkan Melayu dan Bumiputera di Malaysia ini. Itu saya yakin kerana usaha Najib Razak dalam memartabatkan FELDA cukup jitu dari masa ke semasa.

Situasi politik yang ada hari ini tidak seperti situasi masa lalu dan hal ini merupakan pekara penting yang kita patut sedar bahawa peranan yang dimainkan oleh pemimpin kita Najib Razak tidak boleh disamakan dengan pemimpin pemimpin terdahulu. Namun agenda UMNO yang kini dipimpin oleh Najib Razak mewarisi dari kepimpinan UMNO sebelum ini diteruskan kerana ini adalah perjuangan bukan sahaja Najib Razak tetapi oleh semua ahli UMNO itu sendiri.

Mungkin ada salah percaturan yang dilakukan Najib Razak dalam membawa kuasa Melayu dan Bumiputera terus pergi jauh namun sebagaimana kata kata saya tadi tidak semua pemimpin itu seorang yang perfect dan adalah menjadi tugas kita bagi menegur dan membantu pucuk pimpinan kita. Bukan sebaliknya kita terus mahu menjatuhkan kepimpinan kita dengan tomahan demi tomahan yang tidak berasas.

Ahli UMNO seharusnya mencontohi ahli ahli PKR, DAP dan PAS yang mempertahankan kepimpinan parti mereka walaupun terang terangan mempunyai masaalah. Lihat sahaja Mustapha Ali yang jelas terbabit dalam skandal video seks. Tidak ada Ahli PAS yang mengeluarkan kenyataan mendesak agar Mustapha Ali di pecat mahupun diambil tindakan. Begitu juga dengan PKR apabila pemilihan PKR penuh dengan insiden yang tidak bermaruah. Adakah kita dengar suara dari ahli PKR yang mendesak Wan Azizah Presiden PKR meletakkan jawatan kerana kegagalan beliau?

Malah Anwar Ibrahim yang telah diputuskan oleh mahkamah bersalah meliwat Saiful Bukhari dan dijatuhi hukuman 5 tahun penjara masih lagi menerajui Pakatan Pembangkang tanpa ada suara suara sumbang dari ahli Pakatan Rakyat mendesak Anwar Ibrahim berundur.

Siapa lagi yang diharapkan untuk mempertahankan Presiden UMNO jika bukan ahli UMNO? Apakah kita mengharapkan ahli PAS, PKR dan DAP yang tampil mempertahankan Najib Razak Presiden UMNO?

Pihak pembangkang sememangnya mahu untuk UMNO terus bergolak apatah lagi menyingkirkan dengan seberapa segera kepimpinan Najib Razak kerana percubaan mereka mahu menyingkirkan Najib Razak telah dilakukan sejak bertahun tahun yang lalu malah ketika Najib Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi. Bermacam macam isu di rekayasakan oleh pihak pembangkang dalam memastikan Najib Razak disingkirkan oleh ahli UMNO seperti kes pembunuhan Altantuya.

Adakah kita agen pembangkang yang mahu melihat kepimpinan kita tersungkur atas kehendak kita sendiri ahli UMNO? Apakah kita mengalu alukan pembangkang untuk mentadbir negara menggantikan UMNO?

Jika Najib Razak salah kita boleh tegur dengan saluran yang ada. Apa guna mempunyai Ahli Majlis Tertinggi UMNO jika mereka yang sepatutnya bercakap bagi pihak kita ini hanya membisu dihadapan Najib Razak. UMNO perlu bersatu kerana masa yang ada bukanlah untuk menjatuhkan sesama sendiri sebaliknya melipatgandakan usaha menarik sokongan rakyat Malaysia untuk bersama UMNO dan Barisan Nasional pada PRU14 nanti.

Kita bantu Najib Razak bukan kita Tolak beliau.

- Sir Azri