Monday, 15 December 2014

AKU, PERKASA & UMNO





Saya merupakan ahli awal pertubuhan Peribumi Perkasa dengan memegang no keahlian 000381. Pertubuhan pertama yang saya sertai dalam sejarah hidup saya. Saya mendaftarkan diri menyertai PERKASA pada perhimpunan Agung yang pertama yang diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB Jalan Bangsar pada 22 Mac tahun 2009. Suasana pada waktu itu cukup mengkagumkan saya kerana itulah kali pertama saya hadir dalam majlis perhimpunan orang orang Melayu dan cukup bersemangat untuk bersama-sama dengan Melayu yang lain dalam agenda memartabatkan Agama Bangsa dan Negara.

Saya melihat waktu itu PERKASA merupakan satu platform yang amat baik untuk memberikan kesedaran kepada orang orang Melayu tentang agenda Chauvenist yang mahu menyingkirkan Melayu sebagai kuasa utama di Malaysia. Malah PERKASA pada waktu itu turut mendapat sokongan daripada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan beberapa pimpinan yang berpengaruh dalam menyatukan orang orang Melayu. NGO PERKASA diawal penubuhannya mendapat sokongan dari pelbagai peringkat dan ramai yang mengalu alukan kewujudan NGO PERKASA ini.

Kewujudan PERKASA adalah satu keperluan yang relevan dan amat membantu dalam menyatupadukan Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak.

Saya dilantik sebagai Exco Wira PERKASA Malaysia yang pada waktu itu diketuai oleh saudara Armand yang kini merupakan Exco Pemuda UMNO Malaysia. Kedudukan saya sebagai Exco Wira Perkasa menjadikan saya banyak membantu NGO PERKASA dalam bermacam macam program yang diadakan dengan niat untuk menyatukan Islam, Melayu di Malaysia ini. Gerak kerja kami ahli PERKASA bertungkus lumus dalam penyebaran maklumat tentang NGO PERKASA kepada lebih ramai Melayu yang sayang pada agenda perjuangan memartabatkan Agama dan Bangsa.

Satu persatu pekara menjadi menarik perhatian saya apabila mengikuti program program dan gerak kerja PERKASA.  saya melihat seakan ada matlamat lain dan agenda tertentu yang membelengu individu individu dalam PERKASA. Hari demi hari dilihat PERKASA sudah seakan lari dari matlamat perjuangan yang sebenar apabila menfokuskan kepada menyaingi UMNO sebuah parti politik Melayu berbanding menfokuskan kepada menyatukan Melayu.

Selepas pemilihan UMNO pada tahun 2009, ramai calon calon Ketua Bahagian, Timbalan, Naib, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri dan mereka yang bertanding kalah dibahagian telah menjadi ahli PERKASA. Malah mereka yang berpengaruh dibahagian ini diberikan tempat dalam PERKASA sebagai Ketua disetiap bahagian. Malah ada juga mereka yang berjawatan didalam bahagian UMNO memegang jawatan didalam PERKASA. Bekas Yang Berhormat yang tidak dicalonkan pada PRU2008 juga menyertai PERKASA.

Sama ada PERKASA tahu ataupun tidak, fenomena tersebut merupakan satu barah yang telah memesongkan perjuangan PERKASA. Ini kerana mereka yang kalah dibahagian itu menyertai PERKASA adalah kerana mahu hidup dalam karier politik dan mahu terus mendapat sokongan dari akar umbi. PERKASA dijadikan platform batu loncatan untuk meraih kembali sokongan yang telah pudar bagi sesetengah mereka yang berjawatan di bahagian bahagian seluruh Malaysia. Terdesaknya PERKASA pada waktu itu yang mahu menjadi NGO Melayu terbesar telah menerima kemasukkan mereka ini dan memberikan pula kedudukan jawatan PERKASA dan ditempatkan dibahagian bahagian.

Saya pada waktu itu bukanlah ahli UMNO, tetapi perjuangan saya adalah mahu umat Islam Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak bersatu. Dengan tiada penapisan yang dilakukan oleh PERKASA menjadikan saya ragu ragu adakah kewujudan PERKASA ini sebenarnya mahu mengambil alih fungsi parti UMNO? Saya sebagai ahli dan Exco Wira PERKASA pada waktu itu merasakan satu pekara yang akan merugikan Melayu apabila melihat beberapa tempat ketua Cabang PERKASA tidak sehaluan dengan Ketua UMNO bahagian malah berlumba lumba mencari publisiti.

Saya semakin hari semakin kurang mengikuti program program anjuran PERKASA. Saya merasakan keperluan untuk PERKASA melakukan rombakan disetiap bahagian bagi mengemaskini agenda perjuangan PERKASA agar tidak disalahguna oleh mereka yang kini memegang jawatan dibahagian bahagian PERKASA seluruh negara. PERKASA tepat landasan perjuangannya namun disalah guna oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi.

Tidak dinafikan masih ramai didalam PERKASA ini benar benar bermatlamat untuk berjuang memartabatkan Agama Bangsa dan Negara. Ketua Wira PERKASA hari ini saudara Irwan Fahmi merupakan orang yang lantang dalam perjuangan. Beliau jauh lebih membawa agenda perjuangan berbanding Ketua Wira PERKASA terdahulu. Beberapa rakan lain dalam PERKASA juga begitu utuh dalam agenda perjuangan melalui NGO PERKASA. Mereka ini tidak berhalusinasi untuk berpolitik ataupun menggantikan UMNO ataupun mahu melobi untuk menjadi calon pada pilihanraya. Perjuangan mereka tulen dan tetap pada agenda asal penubuhan PERKASA.

UMNO merupakan sebuah parti politik, PERKASA merupakan sebuah pertubuhan bukan politik. Namun kedua dua membawa agenda yang sama iaitu memartabatkan Agama Bangsa dan Negara. Kerjasama yang seharusnya UMNO dan PERKASA lakukan dan bukannya sengketa yang perlu diwujudkan. Saya masih lagi ahli PERKASA dan saya juga merupakan ahli UMNO. Saya mahu Melayu bersatu dan menjadi harapan saya agar UMNO menerima baik PERKASA sebagai NGO yang membantu dan begitu juga PERKASA yang saya harapkan dapat membantu UMNO dan bukannya mahu menggantikan UMNO.

Saya menjadi ahli UMNO pada tanggal 5/9/2013. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali sepertimana yang berlaku pada tahun 1988 apabila Parti Melayu Semangat 46 ditubuhkan gara-gara pertelagahan antara dua tokoh besar Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh sehingga menyebabkan Melayu berpecah dek kerana perebutan kuasa politik. Sejarah lalu seharusnya menjadi pengajaran untuk kita semua kerana musuh kita hari ini adalah mereka chauvenist yang rakus mahukan kuasa dan juga sokongan dari Melayu liberal yang tidak punya roh perjuangan untuk membela bangsa sendiri sehingga sanggup menjadi barua kepada Chauvenist.

UMNO & PERKASA seharusnya berganding bahu. Jika kekuataan dapat disatukan maka saya yakin mereka Chauvenist akan sedar bahawa tanah Melayu ini adalah hak milik kita dan bukan milik mereka. Mudah mudahan juga PAS akan bersama sama UMNO dan PERKASA demi Agama Bangsa & Negara.

Saya meminjam kata kata Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein - 

"Adat bersaudara, saudara dirapatkan,

Adat bernegeri, negeri dimakmurkan, 

Adat beragama, agama didaulatkan, 

Adat berbangsa, kuasa bangsa dipertahankan."


Oleh : Wan Muhammad Azri
Presiden Malaysia Bumiputera Brotherhood

No comments:

Post a Comment